Wednesday 13 February 2013

Komunikasi Interpersonal dan Intrapersonal (Bahagian II)

Artikel sebelum ini telah membincangkan bahagian Pendahuluan, Definisi, Komunikasi yang Berkesan, Faktor Asas terhadap Kemahiran Interpersonal Komunikasi dan Kemahiran tingkahlaku Komunikasi Interpersonal (5.1 - 5.5). Artikel ini pula ada sambungan daripada artikel berkenaan. Anda boleh ikuti artikel berkenaan di sini.

5.6 Penglibatan Pendengar

Jika anda berucap untuk melibatkan pendengar pada tahap intelektual sahaja, skop anda adalah terbatas. Anda hanya melibatkan proses pemikiran di bahagian kiri otak yang sesuai bagi maklumat (fakta dan nombor) sahaja. Maklumat dapat disampaikan dengan berkesan dalam bentuk tulisan. Orang dapat membaca lima kali lebih laju daripada percakapan kita. Apabila anda bercakap, anda terlibat dalam komunikasi interpersonal iaitu anda menyampaikan idea dan pendapat. Anda sedang cuba menggalakkan seseorang bertindak atau memujuk mereka supaya bersetuju dengan anda. Jika anda gagal melibatkan bahagian kanan otak pendengar, anda tidak memperoleh keberkesanan yang baik. Tidak kira seorang atau seribu pendengar, mereka selalu dipengaruhi oleh berbagai rangsangan persekitaran. Lebih banyak penglibatan seseorang pendengar, lebih senang anda memujuk dan meyakinkan dia tentang mesej anda (Bert Decker ,1993).

5.7 Penggunaan Gurau Senda

Gurau senda ialah satu daripada kemahiran penting untuk komunikasi interpersonal yang berkesan dan paling susah dipelajari. Sesetengah orang senang disukai dan dirapati kerana mudah bergurau atau berjenaka (Fisher, B.A.,1978). Kita akan menjadi orang yang lucu dan bersifat “kemanusiaan” jika kita sanggup menjadi sebahagian daripada sesuatu jenaka orang. Banyak yang kita peroleh daripada komunikasi interpersonal dengan berjenaka dan bergurau senda. Sebenarnya dalam komunikasi, kita hendak berhubung secara peribadi dengan pendengar kita. Perhubungan ini dapat wujud dengan unsur “kesukaan” (likeabiliti). Perhubungan ini boleh wujud melalui faktor seperti sikap terbuka, persahabatan, minat, baik, jujur, yakin, beremosi dan bersuka. Senyuman merupakan faktor yang paling menonjol semasa kita bercakap. Senyuman menggambarkan perasaan kita sama ada kita marah, berminat, gembira atau serius. Selain itu, senyuman juga akan membayangkan kemampuan kita untuk menghayati jenaka dan gurau senda (Bert Decker ,1993).

5.8 Sifat Semula Jadi Seseorang

Sifat semula jadi yang terdapat dalam diri perlu digunakan sepenuhnya semasa berkomunikasi. Elakkan kita berkomunikasi diluar kemampuan diri kerana pendengar akan menilai mesej berdasarkan keyakinan dan kemampuan. Kita mempunyai kekuatan atau kelebihan dan kelemahan. Kita mempunyai banyak sumber untuk membantu dalam memperbaiki komunikasi tetapi kekuatan atau kelebihan sedia ada merupakan faktor terpenting. Walaupun mengenali sifat semula jadi merupakan satu tabiat tetapi yang penting ialah mengakui kekuatan dan kelemahan serta menukar kelemahan kepada kekuatan (Bert Decker ,1993).

5.9 Peka ketika berkomunikasi dengan orang lain

Tanggapan awal merupakan halangan kepada komunikasi yang berkesan. Sesetengah orang kerap memberi tanggapan awal sebelum berkomunikasi dengan orang lain. Hal ini terjadi disebabkan pengalaman yang telah dilalui. Tanggapan awal mungkin berguna bagi membantu kita mengkategorikan atau menentukan orang yang kita jumpa. Tanggapan tersebut mungkin tepat atau mungkin salah. Biasanya juga, kita membuat tanggapan awal berdasarkan maklumat atau pandangan yang kita dapat melalui orang lain. Terdapat beberapa kaedah bagaimana hendak memperbaiki tanggapan atau pemahaman awal kita terhadap orang lain :

  1. Elakkan membuat tanggapan awal apabila berjumpa dengan seseorang buat pertama kali.

  2. Dengar dengan teliti dan tunjukkan minat anda apabila berkomunikasi dengan seseorang.

  3. Jangan terpengaruh dengan tanggapan pertama/awal. Elakkan stereotaip seseorang berdasarkan loghat, penampilan dari segi fizikal atau kerana orang itu mengingatkan kita kepada seseorang.

  4. Kita seharusnya peka bahawa setiap orang berkelakuan/bertindak mengikut situasi.

  5. Elakkan menunjukkan minat terhadap orang yang tertentu sahaja. (contohnya : asal yang sama, kedudukan sosial yang sama, bangsa yang sama dan lain-alin).

  6. Jangan hanya terpengaruh dengan ciri-ciri atau sifat dan kata-kata positif seseorang sahaja.

  7. Nilai seseorang berdasarkan apa yang mereka kata (Asrtid French, 1996).

Kajian mengatakan semasa kita berkomunikasi secara bersemuka, kurang daripada 10 % impak terhadap komunikasi kita datang daripada apa yang kita kata tetapi lebih 90 % impak adalah ditentukan oleh komunikasi “non-verbal” (Joseph O’Connor et al, 1982). Komunikasi “non-verbal” merangkumi mimik muka, tumpuan mata, pergerakan kaki dan badan, pakaian, penampilan umum dan intonasi suara. Oleh itu, semasa berkomunikasi kita hendaklah konguren. Ini bermaksud pergerakan tubuh badan atau bahasa pergerakan tubuh badan dan intonasi suara mestilah seiring dengan apa yang kita hendak kata atau sampaikan. Memahami bahasa pergerakan tubuh badan amat penting dalam hubungan interpersonal. Lebih 50% kesan atau impak keberkesanan mesej kita adalah daripada bahasa pergerakan tubuh badan. Untuk menjadikan komunikasi kita efektif dan berkesan, kita perlu tingkatkan pemahaman dan kesedaran kita terhadap pergerakan tubuh badan kita dan orang lain.

Salah satu masalah untuk memahami “non-verbal” komunikasi ialah kita telah membuat tanggapan atau andaian terhadap “non-verbal” komunikasi berdasarkan budaya kita. Sebagai contoh kajian yang dibuat oleh Gumpertz et al, (1979) mengatakan cara orang asia berkomunikasi English dalam loghat Britian selalunya disalah tafsir atau dibuat penilaian awal yang salah terhadap maksud mereka berdasarkan “non-verbal” komunikasi mereka iaitu budaya asia (Asrtid French, 1996).



5.10 Memperkembangkan ciri-ciri atau sifat pribadi dan sifat tegas

Sifat yang perlu ada dalam diri kita semasa berkomunikasi dengan orang lain ialah dengan meluahkan apa yang anda benar-benar maksudkan dan menghormati orang lain. Dengan bersikap tegas akan membuatkan kita memperolehi apa yang kita mahu dalam sesuatu situasi dan ini akan meningkatkan keyakinan kita. Adalah penting untuk kita bersikap tegas bukan hanya kerana ingin memperolehi apa yang kita inginkan tetapi tegas dapat meyakinkan kita terhadap diri sendiri dan sikap kita. Beberapa cirri-ciri atau sifat seorang yang tegas adalah :

  1. Membiarkan seseorang itu selesai bercakap sebelum kita mula bercakap.
  2. Mempertahankan apa yang kita katakan tetapi ianya haruslah dikuatkan dengan bukti yang kukuh dan perasaan kita.
  3. Membuat keputusan berdasarkan apa yang kita fikirkan betul.
  4. Dapat mengikuti sesuatu perbualan itu secara spontan dengan menggunakan nada dan intonasi suara yang sedarhana.
  5. Cuba untuk fahami perasaan orang lain sebelum anda menjelaskan tentang perasaan anda.
  6. Cuba elakkan sebarang kesulitan kepada diri kita dan juga orang lain dengan membincangkan tentang sesuatu masalah atau membincangkan jalan penyelesaian sebelum sesuatu masalah itu timbul.
  7. Berhadapan dengan masalah dan cuba untuk membuat keputusan atau menyelesaikan masalah tersebut.
  8. Anggap diri kita kuat dan mampu tetapi ingat bahawa kita juga sama atau setaraf dengan orang lain.
  9. Berhadapan dengan tanggungjawab bersesuaian dengan situasi, keperluan dan hak anda (Asrtid French, 1996).

Terdapat individu yang ingin bersifat tegas semasa berkomunikasi tetapi ketegasan yang ditonjolkan tidak sesuai dengan penampilan atau persekitarannya. Kemungkinan ketegasan yang kita tonjolkan tidak menampakkan indentiti kita yang sebenarnya. Seseorang yang tegas seharusnya tahu bahawa orang lain juga mempunyai hak yang sama. Kita harus tentukan apa yang hendak kita katakan dan nyatakan dengan jelas dan ringkas. Ketegasan tidak bermaksud, pendapat kita adalah yang terbaik dan kita juga harus bersedia untuk mengubah pendapat kita. Dalam komunikasi, pastikan kedua-dua belah pihak sama ada anda dan pendengar anda, mendapat hak yang sama (Asrtid French, 1996).

Semasa berkomunikasi, kita seharusnya peka dan sedar tentang pentingnya untuk mempertimbangkan hak dan tanggungjawab pendengar. Kita juga tidak seharusnya bersikap tegas dalam semua situasi. Untuk komunikasi yang berkesan melalui ketegasan kita perlu tahu budaya pendengar kita dan tahu untuk menilai situasi masyarakat mereka.

Ciri peribadi positif yang perlu dikembangkan agar kemahiran interpersonal kita meningkat ialah dengan berfikiran positif. Banyak perkara yang kita buat berjaya atau sebaliknya bergantung kepada keyakinan diri sebelum kita melakukannya sama ada kita bersifat positif atau negative. Contohnya, jika kita hendak melakukan sesuatu, wujud bisikan dalam kepada kita mengatakan “tidak, jangan lakukannya”, “anda akan gagal”, “anda tidak berkebolehan untuk melakukkannya” atau “pendapat anda tidak berguna, bodoh”. Bisikian seperti ini merupakan keyakinan negative yang kita timbulkan sendiri sebelum kita melakukan sesuatu perkara. Menurut Anderesen, P.A. (1979), tanggapan awal kita sangat mempengaruhi tindakan dan keputusan akhir perkara yang kita hendak lakukan. Fikiran positif akan mempengaruhi ketegasan kita dalam berkomunikasi. Kemahiran mendengar juga penting untuk mengukuhkan lagi kemahiran interpersonal. Kemahiran mendengar memerlukan beberapa kemahiran seperti :
  1. kebolehan untuk menumpukan perhatian terhadap apa yang dikatakan oleh seseorang.
  2. kesanggupan untuk menerima atau mendengar pendapat orang.
  3. cuba untuk memahami dan mendengar maksud tersurat dan tersirat disebalik apa yang dikatakan oleh seseorang.

Terdapat sepuluh cara untuk meningkatkan kemahiran mendengar :

  1. Dapatkan komunikasi mata yang baik.
  2. Pastikan kita dalam keadaan selesa.
  3. Cuba mendekati atau menghampiri penyampai.
  4. Berfikiran terbuka walaupun kita tidak setuju dengan apa yang diperkatakan.
  5. Jangan mengganggu semasa komunikasi berlaku kecuali jika dibenarkan untuk bertanya.
  6. Katakan “ya”, “mmm”, “saya faham” dengan nada yang ikhlas.
  7. Elakkan daripada segala gangguan
  8. Perlu bersabar.
  9. Tunjukkan kepada penceramah bahawa kita hendak mendengar dengan cara menunjukkkan minat.
  10. Bersikap empati terhadap penyampai (Asrtid French, 1996).

5.11 Membina Hubungan Yang Baik

Membina hubungan yang baik juga satu elemen yang penting dalam meningkatkan kemahiran interpersonal kita. Adalah penting mempunyai kebolehan untuk mewujudkan hubungan yang baik dengan orang lain.
If you want to win a man to your cause, first convince him that you are his sincere friend.” Abraham Lincoln

Seseorang yang mempunyai kemahiran interpersonal yang baik mampu mewujudkan hubungan yang baik dengan orang lain dan ini akan mewujudkan kepercayaan diantara satu dengan yang lain. Untuk menjalin hubungan yang baik kita perlu :

  1. Tekankan persamaan yang ada bukannya perbezaan.
  2. Dengar setiap apa yang diperkatakan seperti penggunaan perkataan dan cuba gabungkan dalam perbualan kita. Sensetif terhadap tatabahasa mereka. Elakkan penggunaan perkataan yang anda sahaja yang tahu atau sukar untuk difahami kerana tidak ada sesiapa yang suka merasakan diri mereka bodoh.
  3. Berikan mereka apa yang anda inginkan daripada mereka seperti hormat, minat dan perhatian (Asrtid French, 1996).

6.0 Kemahiran Komunikasi IntraPersonal

Kemahiran Komunikasi Intrapersonal adalah penting dalam diri seseorang individu. Walaupun kita menggunakan masa yang banyak berkomunikasi dengan orang lain, sebenarnya Komunikasi Intrapersonal mendominasi majority daripada komunikasi kita dan memberi impak yang terbesar kepada sikap individu serta mempengaruhi kejayaan atau kegagalan kita. Menurut Barker & Edwards (1980), “Intrapersonal communication is about communication at level of the individual”.

Menurut Leonard J. Shedletsky (1991), jika tafsiran terhadap komunikasi Intrapersonal dari sudut ruang lingkup kognitif, kita cirikan kemahiran ini sebagai suatu simbol terhadap kemahiran yang melibatkan sifat dalaman seperti mengkod atau menyahkodkan. Seterusnya jika kita tafsirkan komunikasi Intrapersonal dari segi operasi kognitif, ia melibatkan pemikiran terhadap konsep.
Kemahiran Intrapersonal merangkumi :

  1. “Sense-making” seperti mentafsir peta, teks, gambar dan symbol.
  2. Mentafsir “non-verbal” komunikasi seperti pergerakan dan komunikasi mata.
  3. Komunikasi antara anggota badan seperti “Perut saya mengingatkan saya masa untuk makan”.
  4. khayalan
  5. mimpi dan lain-lain (Fisher, B., 1983).

Kajian telah dilakukan dan mendapati terdapat atau wujud perbezaan kemahiran Komunikasi Intrapersonal mengikut jantina. Perbezaaan ini wujud disebabkan oleh persekitaran serta didikan awal semasa zaman kanak-kanak serta penekan terhadap perwatakan yang perlu ada mengikut jantina serta norma sosial(Coates, J, 1986).

Persepsi intrapersonal kita bermula daripada perhubungan dengan dunia sebenar. Pengalaman dari segi visualisasi sangat mempengaruhi Intrapersonal komunikasi. Persepsi intrapersonal banyak bergantung kepada realiti daripada keadaan sebenar atau dunia sebenar (Berger et al, 1967). Selain daripada itu, persepsi suatu masyarakat juga mempengaruhi persepsi Interpersonal seseorang individu. Tindakan dalam diri seorang individu yang telah sebati dengan cara atau sosial suatu masyarakat akan mempengaruhinya.
Kemahiran Intrapersonal banyak bergantung kepada kesediaan fikiran atau otak kita. Berikut adalah beberapa aktiviti yang dapat membantu kita meningkatkan kemahiran intrapersonal dengan cara mengawal pemikiran kita iaitu :

  1. Bila kita merasa risau atau gementar, tarik nafas dan perlahankan pernafasan serta tarik nafas yang dalam dan hembuskan perlahan-lahan.
  2. Tumpukan perhatian dan focus kepada satu item dan secara perlahan sebelum tumpukan kepada item lain.
  3. Pejamkan mata dan fikirkan tentang tubuh anda. bukan kepada bentuk tubuh, tetapi apa yang dirasakannya. Dengan perlahan kenali seluruh tubuh anda dan rehatkan/tenangkan bahagian yang terasa tekanan atau bebanan.
  4. Tetapkan masa 5,10,15 atau 20 minit. Pilih satu tajuk dan fikirkan tajuk tersebut. Apabila fikiran mula menular, bawa kembali kepada topic pertama kali melakukan aktiviti intrapersonal. Ini akan membawa anda berfikir berapa banyak masa yang masih ada (Coates, J, 1986).

7.0 Penutup

Daripada penulisan dan kajian yang dibuat, didapati kemahiran interpersonal dan Intrapersonal komunikasi amat penting untuk setiap individu. Kemahiran ini perlu dikuasai agar kita boleh menjadi penyampai mesej dan pendengar mesej yang baik. Dengan kemahiran yang kita kuasai ini akan membantu kita dalam menentukan kejayaan dan kesempurnaan tindakan atau perkara yang hendak kita lakukan. Penguasaan kemahiran komunikasi intrapersonal juga amat penting kerana kemahiran ini merupakan titik permulaan untuk tindakan kita yang seterusnya. Kejayaan atau kegagalan perkara yang difikirkan banyak bergantung kepada kesediaan tahap mental dan fikiran kita dalam mengurus komunikasi yang berlaku dalam diri individu, yakni diri kita.

kredit gambar: www.dmaconnection.com

1 comment:

  1. [...] p/s: Ikuti sambungan artikel ini di > Komunikasi Interpersonal dan Intrapersonal Bahagian II. [...]

    ReplyDelete