1.0 Pendahuluan
Mencapai kecemerlangan dalam komunikasi Interpersonal dan Intrapersonal ialah satu proses yang kompleks dan berasaskan beberapa kemahiran asas. Komunikasi yang efektif adalah penting bagi setiap orang tidak kira dalam pekerjaan ataupun kehidupan seharian. Dalam penulisan ini, akan membincangkan bagaimana mencapai komunikasi interpersonal dan intrapersonal yang lebih efektif dengan memperkenalkan kepada beberapa kemahiran asas komunikasi.
2.0 Definisi
Komunikasi mengandungi sekumpulan isyarat (signal) yang memberi petunjuk atau melambangkan sesuatu mesej. Isyarat ini boleh berbentuk perkataan atau tidak, yang penting mesej dapat disampaikan. Menurut Bert Decker (1993), komunikasi interpersonal berlaku setiap kali kita berinteraksi dengan orang lain. Menurut Astrid French (1996), kemahiran interpersonal adalah kemahiran yang digunakan semasa berkomunikasi atau berurusan dengan orang lain secara bersemuka.
Komunikasi Interpersonal terbahagi kepada komunikasi verbal dan non-Verbal. Komunikasi Verbal ialah Komunikasi lisan yang berlaku secara langsung apabila dua atau lebih orang berbual secara bersemuka. Komunikasi verbal melibatkan penggunaan bahasa. Contohnya Guru menyampaikan pengajaran kepada pelajar-pelajar dengan cara bertutur.
Komunikasi non-verbal pula semua bentuk tingkahlaku yang bukan lisan dan tidak bertulis. Ianya melibatkan bunyi, gerakan anggota badan, mimik muka, objek atau sebarang rekabentuk. Contohnya Guru mengangguk kepala tanda setuju dengan jawapan pelajar. Komunikasi intrapersonal adalah komunikasi yang ada dalam diri kita sendiri. Menurut Stanley Cunningham (1989), kemahiran intrapersonal adalah satu proses yang unik dimana pertukaran dan perpindahan maklumat berlaku dalam diri individu. Contohnya seperti merenung, berfikir, berkhayal dan berfantasi.
3.0 Komunikasi yang Berkesan
Meyakinkan orang lain adalah sangat penting dalam komunikasi peribadi. Kita “mengkomunikasikan” idea, diri sendiri ataupun keluaran kita kepada orang lain. Pada masa yang sama, kita juga “menjual” idea, diri sendiri dan keluaran kita. Kemahiran berkomunikasi menekankan perkembangan kemahiran interpersonal semasa melaksanakan komunikasi yang meyakinkan. Sebagai contoh:
- Satu perniagaan yang baru mestilah berkebolehan menjual rancangan perniagaan dengan efektif untuk memperolehi kredit atau wang.
- Seseorang penyelia mestilah berkebolehan berkomunikasikan matlamat syarikatnya dengan jelas kepada para pekerja.
- Seseorang pengurus mestilah berkebolehan menghadapi seseorang pekerja apabila prestasinya kurang baik, walaupun pekerja itu mungkin kawannya.
- Ibu bapa mestilah yakin menyampaikan pendapat mereka semasa mesyuarat di sekolah jika mereka inginkan perubahan.
- Seseorang eksekutif dalam situasi yang sukar mestilah sentiasa tenang dan yakin untuk menyampaikan kenyataannya dengan meyakinkan. (Peter Honey, 1988)
4.0 Faktor Asas terhadap Kemahiran Interpersonal Komunikasi
Menurut Bert Decker (1993), unsur penting untuk komunikasi interpersonal yang berkesan ialah kepercayaan, faktor keperibadian dan sifat terbuka. Kepercayaan seseorang pembentang adalah penting untuk kejayaan pembentangan dan kejayaan peribadinya. Walau apa pun yang disebut oleh penceramah, dia tidak akan dipercayai oleh pendengar kalau penceramah tidak mempunyai sifat boleh dipercayai. Tindakan tidak akan berlaku jika tidak ada kepercayaan dan persetujuan.
Kajian yang telah dilakukan oleh Profesor Albert Mehrabian menurut Bert Decker (1993), tentang perhubungan antara tiga elemen asas semasa pertuturan iaitu lisan, suara dan penglihatan. Beliau mengukur perbezaan kepercayaan antara elemen lisan, suara dan penglihatan dalam mesej kita. Unsur lisan ialah mesej itu sendiri iaitu perkataan yang dituturkan. Unsur suara ialah intonasi, lontaran suara dan nada perkataan yang disebut. Unsur penglihatan ialah perkara yang dapat dilihat oleh orang lain iaitu perkara yang dilihat pada muka dan pergerakan badan. Hasil kajian membuktikan bahawa tahap ketidakselarasan antara tiga elemen ini ialah faktor yang menentukan tahap kepercayaan.
Ketidakselarasan tiga elemen ini menyebabkan mesej yang cuba disampaikan tidak konsisten dan menyebabkan kurang kepercayaan. Untuk menyampaikan mesej yang konsisten, ketiga-tiga elemen mesti bertindak bersama. Suara yang memaparkan kegembiraan akan bergabung dengan tenaga dan air muka serta pergerakan badan memaparkan keyakinan dan kebenaran mesej yang disampaikan. Ini akan meningkatkan kebolehpercayaan terhadap komunikasi yang berlaku.
Faktor keperibadian yang dikaji secara saintifik oleh Staples Scalometer merupakan satu-satunya elemen yang telah meramalkan dengan konsisten pemenang pilihanraya presiden Amerika Syarikat dalam lapan pilihan raya yang telah lepas termasuk John F. Kennedy dan Richard Nixon. Keperibadian memainkan peranan yang besar dalam keberkesanan hubungan interpersonal seseorang individu. Tiga sifat peribadi yang konsisten yang mempunyai pengaruh dalam menentukan kejayaan komunikasi interpersonal ialah :
- Keperibadian yang dinamik dan menarik
- kebolehan memujuk, berbual dan bekerjasama dengan orang lain
- keinginan untuk berkuasa.
Kajian juga dilakukan terhadap fungsi dan peranan otak kiri dan otak kanan telah memberi kesan yang besar ke atas kefahaman tentang komunikasi interpersonal. Bahagian otak kiri memberi penekanan terhadap penerimaan mesej yang berbentuk nombor, pola dan fakta yang agak kompleks. Otak kanan pula memberi penerimaan yang berorientasikan bahasa dan pengenalan corak. Otak kanan juga memberi makna kepada semua perangsang dan input yang kita sentiasa terima. Oleh itu, untuk kesan yang efektif dalam hubungan interpersonal, kita mesti bertutur kepada bahagian kanan otak kerana pendengar menggunakan bahagian kanan otak mereka untuk mendengar (Bert Decker, 1993).
5.0 Kemahiran tingkahlaku Komunikasi Interpersonal
Adalah ketara bahawa penyampaian suara, unsur penglihatan, ciri keperibadian dan sifat terbuka ialah ciri utama untuk komunikasi interpersonal yang berkesan. Tetapi apakah ciri dan sifat tingkahlaku yang mewujudkan komunikasi yang berkesan ? Menurut Bert Decker(1993), terdapat sembilan bidang kemahiran tingkahlaku yang mesti diberi pertimbangan untuk meningkatkan keberkesanan interpersonal komunikasi iaitu komunikasi mata, posisi tubuh dan pergerakan badan, gerak isyarat/air muka, pakaian dan perwatakan, suara dan kepelbagaian nada, bahasa, penglibatan pendengar, penggunaan gurau senda dan sifat semula jadi seseorang. Menurut Astrid French (1996) pula, terdapat tiga cara bagaimana hendak memperbaiki kemahiran interpersonal kita iaitu :
- Peka ketika berkomunikasi dengan orang lain.
- memperkembangkan lagi ciri-ciri/sifat tegas dan bersungguh-sungguh.
- membina hubungan yang baik
5.1 Komunikasi Mata
Mata dapat mengancam seperti pistol berisi yang diacu; atau dapat menghina seperti desiran ataupun tendangan; atau membuat hati menari dengan keriangan . - Ralph Waldo Emerson
Komunikasi mata merupakan kemahiran yang paling penting. Dalam sistem urat saraf hanya mata anda yang disambung secara terus dengan orang lain. Jangan anggap bahawa “perhubungan mata” adalah mencukupi. Komunikasi mata yang baik adalah lebih daripada memandang secara sepintas lalu. Semasa berkomunikasi, pastikan komunikasi mata wujud antara penyampai mesej dengan pendengar. Komunikasi mata yang baik akan menyebabkan pendengar kita merasa mereka dilibatkan bersama dalam komunikasi. Dalam komunikasi individu, komunikasi mata yang normal adalah dari 5 hingga 15 saat. Untuk individu dalam kumpulan, adalah lebih kurang 4 hingga 5 saat (David R. Stubbs, 1986).
5.1.1 Kemesraan, Ancaman dan Pembabitan
Ketiga-tiga perkara di atas berkaitan dengan komunikasi mata. Kemesraan dan ancaman bererti memandang seorang untuk jangka masa yang panjang antara 10 saat hingga satu minit atau lebih. Tetapi lebih 90 % daripada komunikasi peribadi (terutamanya dalam perniagaan) berhubung dengan pembabitan. Ia memerlukan perhatian kita dan akan melibatkan komunikasi mata yang agak lama dan kerap. Apabila berbual sesama seseorang dan berasa ghairah, terdorong dan yakin, kita selalunya memandang mereka selama lima hingga 10 saat sebelum memandang ke arah lain. Ini ialah suatu kebiasaan dalam komunikasi secara perseorangan. Perkara ini mesti dipraktikkan dalam semua sitauasi samada bercakap dengan seorang atau pun seribu orang. Jangka masa lima saat ini adalah selesa (kemesraan) bagi pendengar dalam komunikasi.
Apabila mengalami tekanan, masalah kita biasanya ialah memandang ke mana-mana arah kecuali pendengar kita. Mata kita akan memintas ke semua arah seperti seekor arnab yang ketakutan. Ini akan menonjolkan ketakutan kita dan seterusnya menrendahkan keupayaan kita. Tidak memandangkan terus pada orang yang kita bercakap akan membuatkan pendengar kita kurang selesa. Satu lagi perkara yang agak merunsingkan ialah tabiat “slo-Blink”. Seseorang memejam matanya selama 2 hingga 3 saat memberi mesej “saya memang tak suka berada di sini”. Reaksi seperti ini menyebabkan pendengar juga biasanya berasa begitu juga (Bert Decker ,1993).
Menurut Andresen et al (1979), adalah penting untuk memastikan adanya komunikasi mata yang baik dengan penemuduga atau sesiapa sahaja apabila sedang dirakam dalam kamera. Jangan lihat terus ke arah kamera. Penonton televisyen memerhatikan anda melalui kamera, oleh itu anggapkan kamera sebagai “pemerhati” itu sendiri. Apabila anda membuat penyampaian pada kumpulan yang besar dan sudut tuju mata anda antara tiap-tiap individu adalah kecil. Komunikasi mata terhadap pendengar yang lebih panjang (5 saat) adalah tidak sesuai. Ini adalah kerana jika penceramah melihat seseorang, para hadirin yang lain akan menganggap ianya bercakap dengan orang itu sahaja.
5.2 Posisi Tubuh dan Pergerakan
Posisi tubuh badan amat penting untuk keberkesanan komunikasi terutama semasa berada di khlayak ramai. Beberapa cirri-ciri posisi tubuh badan yang perlu diambil perhatian semasa berkomunikasi adalah seperti ;
5.2.1 Berdiri tegak
Posisi tubuh bahagian atas yang kurang baik memaparkan keyakinan diri yang kurang. Orang lain akan menganggap demikian sehingga mereka memperoleh maklumat secukupnya untuk mengubah pendapat mereka. Pada amnya, posisi tubuh yang kurang baik disebabkan oleh tabiat waktu muda yang tidak dibetulkan. Ramai lelaki berjalan bongkok kerana pada usia remaja mereka membesar dengan begitu cepat dan mereka membongkok supaya tidak kelihatan ketara. Yang lain tidak menganggap bahawa posisi tubuh adalah penting dan membiarkan tabiat ini berterusan sehingga ke alam dewasa (Bert Decker ,1993).
5.2.2 Perhatikan posisi bahagian bawah tubuh anda
Bahagian kedua posisi tubuh yang selalu diabaikan ialah bahagian bawah tubuh. Apabila penceramah bercakap dengan orang lain, keberkesanan mungkin akan berkurangan disebabkan oleh cara penceramah berdiri. penceramah akan mengurangkan tenaga komunikasi anda kerana bahasa isyarat tubuhnya yang kurang sesuai. Satu daripada posisi tubuh yang kurang baik ialah “berdiri senget sebelah”. Apabila berdiri demikian, secara tidak langsung anda menyatakan, “saya tidak suka berada di sini”, dan ingin mengasingkan diri anda. Variasi lain ialah bergoyang dari kiri ke kanan ke depan dan belakang di atas tumit dan jari kaki ataupun berjalan ke hulu ke hilir (Andersen et al, 1979).
5.2.3 Amalkan Posisi Sedia
Perkara yang dapat dibuat untuk melawan tabiat negative ialah mengamalkan posisi sedia. Posisi sedia bererti badan diletakkan ke hadapan. Komunikasi anda mestilah bertenaga. Apabila anda bercakap atau apabila anda yakin dan pasti dapat menyampaikan mesej, anda membawa kuasa anda ke hadapan. Posisi sedia ialah berdiri dengan bercondong ke depan sedikit supaya boleh bergerak dengan senang. Ia sama dengan latihan untuk pertandingan olahraga dan kita mesti sedia bergerak ke semua arah. Apabila kita condong ke depan sedikit, adalah susah untuk berdiri di atas satu kaki ataupun bergerak ke depan dan belakang seperti buaian. Posisi Sedia yang diamalkan dalam komunikasi sama ada formal atau tidak formal membolehkan kita bersedia apabila menghadapi tekanan.
5.2.4 Bergerak
Komunikasi dan tenaga tidak dapat dipisahkan. Gunakan semua tenaga semula jadi dengan positif. Bergerak semasa bercakap atau berkomunikasi akan menarik perhatian pemerhati. Jangan hanya berdiri tanpa pergerakan terutama dalam situasi formal. Dengan pergerakan akan mengurangkan penghalang fizikal antara anda dengan pendengar. Pergerakan menambah tenaga, menunjukkan keyakinan dan memberi variasi dalam komunikasi. Jangan bergerak sehingga melebihi batasan, tetapi bergeraklah dalam lingkungan tenaga kita.
5.2.5 Gaya Anda Tersendiri
Pastikan semasa berkomunikasi, posisi tubuh dan pergerakan adalah bersesuaian dengan gaya peribadi masing-masing. Memang tidak ada cara yang sempurna untuk berdiri atau bergerak. Bergerak diluar kebiasaan kita menyebabkan pergerakan kita seolah-olah tidak sempurna. Berdiri secara tegak adalah satu daripada cara yang berkesan dan boleh menunjukkan tenaga semasa berkomunikasi (Bert Decker ,1993).
5.3 Gerak Isyarat/Air Muka
Untuk mendapatkan komunikasi interpersonal yang berkesan, tangan anda mestilah dalam kedudukan semula jadi. Tangan anda mesti digerakkan secara biasa supaya nampak bertenaga dan menarik. Anda mesti senyum apabila menghadapi tekanan seperti yang dilakukan dalam keadaan biasa. Gerak isyarat dan air muka dapat diperbaiki dengan cara :
5.3.1 Kenali Tabiat Anda
Kaji rupa anda dalam keadaan tertekan. Selepas itu, fikirkan dan ambil tindakan yang sepatutnya. Anda boleh mendapat maklum balas daripada orang lain, tetapi cara baik sekali ialah membuat rakaman video dan memerhatikan diri anda. Kenal pasti tabiat anda yang tidak semula jadi sebelum mengubahnya. Anda mesti kenali tabiat anda yang dianggap sebagai “tabiat yang melumpuhkan”.
5.3.2 Jangan Melebihi Batasan
Pada amnya tidak ramai yang suka melebih-lebihkan gerak isyarat ataupun air muka mereka. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa anda tidak boleh melebih-lebihkan pergerakan anda. Cuba lakukan gerak isyarat dan air muka yang lebih sehingga menjadi satu tabiat yang semula jadi.
5.3.3 Senyuman
Kita semua suka menganggap bahawa kita sentiasa senyum. Sebenarnya orang lain dapat memerhatikan kekerapan senyuman kita. Kajian menunjukkan bahawa hanya satu pertiga daripada ahli perniagaan suka senyum. Bagi golongan kedua, air muka sentiasa berubah daripada senyuman ke wajah yang serius. Golongan ketiga pula mempunyai wajah yang serius walaupun mereka fikir mereka sedang senyum (Borden, 1976). Jika kita berada dalam golongan yang senang senyum, ini merupakan satu kelebihan dalam komunikasi interpersonal. Orang akan menganggap anda sebagai orang yang berfikiran luas dan mesra, dan akan menerima pendapat anda dengan mudah. Selain daripada itu, kelebihan lain anda ialah lebih mudah menyampaikan berita buruk dibandingkan dengan orang lain. Tetapi jika kita berada dalam golongan ketiga, kita mesti berusaha mengatasi masalah komunikasi ini. Anda mungkin senyum dalam hati, tetapi di luar anda kelihatan serius, sedih dan marah. Ini anggapan dan persepsi orang yang memerhatikan anda (Bert Decker ,1993).
Senyuman bukanlah sesuatu yang ghaib kerana ia sangat berkesan. Senyuman disebabkan oleh otot dan boleh diamalkan dengan latihan. Cara baik untuk melatihkan senyuman ialah dengan menaikkan pipi anda. Kita mementingkan senyuman dalam semua usaha interpersonal anda kerana senyuman yang serta merta memberi orang lain gambaran tentang diri anda. Tetapi senyuman palsu adalah tidak berkesan untuk menarik perhatian. Oleh itu, senyuman yang diberikan semasa berkomunikasi hendaklah senyuman yang ikhlas.
5.4 Pakaian dan Perawakan
Kita membuat tanggapan serta merta dalam lima saat pertama selepas melihat seseorang. Beberapa orang pakar berpendapat bahawa dalam lima minit seterusnya kita menambah lima puluh peratus kepada tanggapan yang pertama sama ada negatif atau positif (Jerry Richardson, 1987). Oleh kerana 90 % daripada badan kita ditutupi pakaian, adalah penting bagi kita mengetahui perkara yang dianggap oleh orang lain melalui pakaian kita. 10 % bahagian badan yang tidak ditutupi ialah muka dan rambut kita. Bahagian ini adalah yang paling penting. Semua orang dapat melihatnya. Tanggapan orang tentang kita berdasarkan gaya rambut, solekan, dan barang kemas untuk kaum perempuan, gaya rambut, berkumis dan berjanggut ataupun tidak bagi kaum lelaki. Perkataan yang paling penting berkenaan pakaian yang berkesan ialah “pakaian yang bersesuaian”. Tidak ada cara yang betul atau salah untuk berpakaian sesuai. Yang penting sekali ialah keselesaan kita. Ini lebih penting daripada perasaan orang lain. Jika kita tidak selesa, kita tidak dapat berkomunikasi dengan baik. Perawakan anda mestilah sesuai dengan situasi persekitaran (cuaca, waktu, situasi social dan lain-lain). Keberkesanan perawakan kepada orang lain adalah lebih penting daripada apa yang kita fikirkan. Rupa anda akan menggambarkan bagaimana anda menganggap diri sendiri dan apa yang anda sanggup buat menarik perhatian orang lain (Bert Decker ,1993).
5.5 Suara dan Kepelbagaian Nada
Suara adalah seperti kenderaan sama ada seperti kereta usang yang perjalanannya tersangkut-sangkut ataupun kereta yang dijaga dengan baik dan berjalan dengan licin. Kedua-dua akan sampai ke destinasi, tetapi kelicinan perjalanan sangat berbeza. Kajian juga menyatakan keberkesanan interpersonal komunikasi bergantung kepada intonasi suara. Malangnya, kebanyakan daripada kita tidak menyedari bagaimana intonasi atau lembaran suara semasa kita bercakap dengan orang lain. Kita boleh menilai maksud komunikasi contohnya maksud komunikasi tersebut menggembirakan atau marah berdasarkan intonasi suara semasa menyampaikan mesej atau kata-kata. Oleh itu, semasa berkomunikasi dengan orang lain gunakan intonasi suara yang sesuai. Kesesuaian intonasi suara akan mengakibatkan mesej kita mudah difahami dan boleh menarik minat orang lain untuk mendengar.Suara adalah alat utama untuk menyampaikan mesej. Suara seharusnya menggambarkan tenaga, keseronokan dan kesungguhan yang anda rasa seharusnya digambarkan melalui suara anda.
Kita cenderung menggunakan nada dan cara bercakap yang sama dan susah diubah. 84 % daripada kepercayaan mesej anda adalah daripada nada, intonasi dan resonan suara anda terutama apabila pendengar tidak dapat melihat anda. Komponen yang merangkumi suara ialah ketenangan, pernafasan dan resonan. Setiap komponen dapat diubah dengan latihan untuk memperbaiki keberkesanan suara anda. Kesempurnaan gabungan komponen ini akan bertindak untuk memberi keunggulan suara anda. Selain itu, menukar nada suara ialah satu cara untuk mengekal minat dan perhatian orang. Gunakan teknik “roller-coaster” iaitu menaikkan suara sedikit demi sedikit dan kemudian menurunkannya. Ini akan mengelakkan anda daripada bercakap dengan nada yang sama dan membantu anda mempelbagaikan suara anda (Bert Decker ,1993).
Satu kesalahan besar penyampaian ucapan ialah membaca daripada teks. Penulisan, bacaan dan pertuturan ialah tiga cara komunikasi yang berlainan. Gunakan nota atau rangka idea apabila memberi ucapan. Ini akan membantu anda memilih perkataan secara spontan. Ini akan menyebabkan suara anda menjadi aktif dan semula jadi kerana anda sentiasa berfikir, mengubah suai dan menukar isi kandungan ucapan (Cronkhite, G., 1986).
Bahasa ialah kombinasi perkataan dan bukan-perkataan. Komunikasi akan menjadi lebih efektif apabila perkataan yang sesuai dan tepat digunakan. Ini memerlukan perbendaharaan kata yang kaya supaya anda dapat melahirkan pendapat anda dengan tepat. Menurut Thomas Harris (1973), bunyi bukan perkataan seperti “umm”, “ok”, Ya, Tak” dan lain-lain akan mengganggu perhatian pendengar dan penghalang kepada komunikasi.. Gunakan bahasa yang jelas dan mudah difahami mengikut kesesuian dan persekitaran pendengar. Berhenti sejenak selama tiga hingga empat saat semasa berkomunikasi walaupun dalam pertengahan ayat dapat membantu kita menarik perhatian pendengar.
p/s: Ikuti sambungan artikel ini di > Komunikasi Interpersonal dan Intrapersonal Bahagian II.
kredit gambar: www.dotcominfoway.com
No comments:
Post a Comment